Bagai air yang jernih

Bagai air yang jernih,
mengalir perlahan dari hulu ke muara
beginilah waktu mencatat
riwayat hidup anak pedalaman
meneroka rona-rona kehidupannya

AZAM

AZAM

Monday, November 8, 2010

BLOGGER - ADA YANG MENDEPANI ZAMAN




Saya sudah menulis kepayahan seorang blogger (picisan) seperti saya. Menulis bukan kerana nama dan bahkan bukan kerana apa. Tidak seperti blogger yang ditaja yang harus sentiasa menulis kerana menulis adalah tanggungjawab dan kewajipannya kepada seseorang atau sesuatu organisasi. Saya berbeza sama sekali.

Benar ini bukan satu-satunya blog yang saya miliki. Saya ada blog azam yang mengisi puisi-puisi dan catatan perjalanan kehidupan. Selain itu sebuah blog tidak berwajah, yang membantu kerajaan dengan menulis dan mempropagandakan isu politik semasa. Ia antara yang terkehadapan di Pahang namun buat masa ini saya masih perlu sembunyikan wajah. Justru amatlah sukarnya memberikan masa untuk bersikap komited kepada segalanya, tambahan pula semata-mata hanya atas kesedaran sendiri bagi membela bangsa.

Bagi yang berblog, mereka akan faham dan mengakui bahawa memang sukar untuk memiliki beberapa blog dan memberikan komitmen kepadanya. Ini saya lakukan kerana menafikan bahawa saya terlibat dengan lain-lain blog yang hangat diperkatakan di pekan kecil Jerantut ini. Saya sedar bahawa ada yang menuding jari kearah saya, tetapi mungkin kita lupa bahawa bukan saya seorang saja yang mampu lakukan itu dan itu boleh jadi siapa-siapa saja.

Semalam saya berkesempatan bertemu dengan seorang sahabat lama, Wan Johari yang banyak menanyakan saya tentang ini, dan saya menafikannya. Memang saya ada mendengar tuduhan sedemikian tetapi kerana ianya dibelakang, maka saya hanya mendiamkan diri. Dalam kes Wan Jo, saya menafikannya kerana beliau secara gentlement menanyakan saya dan saya menjawabnya dengan senanghati. Bagi yang tidak bertanya, bagaimana saya harus menjawabnya?

Pembaca blog juga bijak dari dari kalangan mereka yang mewah berfikir. Kerana itu jika kita menyatakan sesuatu yang bodoh maka kita terlebih dahulu dianggap bodoh dalam menyatakan pendapat. Saya ingin kaitkan dengan kenyataan saya tentang keinginan mendapatkan sahan felcra seperti yang pernah saya suarakan dulu.

Sebenarnya saya tidak pernah memohon, justru saya memang tidak berhak untuk mendapatnya. Bagaimanapun apa yang saya suarakan itu sebenarnya hanyalah suatu kiasan kepada apa yang berlaku disekitarkita. Memang ada mereka yang betul-betul memerlukannya. Bagaimanapun memang betul-betul berlakunya penyalahgunaankuasa dan penyelewengan dalam pemberian saham felcra berkenaan, seperti yang berlaku di Kg. Merting dan hangat diperkatakan. Sebenarnya, saya dalam bahasa yang halus hanya ingin menarik perhatian pihak berkenaan kearah isu itu, tetapi rupanya masih ada pembaca yang kurang faham maksud yang tersirat. Mungkin kerana kurang prihatin tetapi saya rasa bukanlah kerana mereka kurang cerdik dalam mentafsir.

Pihak berkenaan harus sedar dalam isu felcra memang ada berlaku borang dijual-beli (RM100), selain itu mereka yang patut dapat tidak mendapatnya bahkan mereka yang tidak layak diberikan peluang mendapatnya. Itulah isu pokoknya yang perlu kita perhatikan dan selesaikan. Bukanlah isu saya secara peribadi marah dan kecewa kerana tidak mendapat saham felcra berkenaan dengan tidak memohonnya.

Kita harus melihat dunia blog ini dengan lebih telus. Kita harus menyertai blog dan facebook sebagai alatan perhubungan media sosial semasa. Jika kita masih duduk diluar, maka kita berupaya mentafsirkannya dan jangan kita bincangkan apa yang kita tidak memahami. PM meminta kita aktif dalam lama sosial dan menjadi juara dalam IT. Berapa ramai antara kita yang sudah melangkah kesitu? AJK UMNO Bahangian yang berania hanya Cik Gu Sofian Kassim.  Syabas Bro! Teruskan!

Monday, October 18, 2010

SUSAH JUGA JADI BLOGGER

Kawan-kawan bertanya kenapa tak up-date blog? Saya tanya semula; awak ada blog? Jika awak ada awak akan tahu bahawa bukan senang menulis blog (bagi sesetangah orang, macam saya). Ada beberapa faktor; pertama masa, idea dan komitmen kita sendiri.

Bila saya kata tidak ada masa yang saya maksudkan adalah saya buka sepanjang masa duduk didepan komputer kerana saya ada komitmen lain yang perlu dilaksanakan. Mungkin jika saya bertugas dipejabat sepanjang masa saya akan dapat melakukannya dengan baik.

Cuba liha di sekeliling kita (Jerantut) ada berapa blog yang benar-benar komited? Ada yang banyak menulis tetapi isinya hampas, ada yang baik tulisannya tetapi jarang menulis, ada yang buat blog tetapi terus tutup kedai. Ini tidak terkecuali ADUN Tahan serta Norhelan Mahamud. Datang dan pergi.....

Bagaimanapun saya tabik kepada beberapa blog Jerantut yang sangat komited; SPU, UD, WZWH, Menyegar dan beberapa lagi, yang masih bernafas...entah sehingga bila.

Blog UD dengan isu Felcranya. Saya juga pernah menulis mengenai Felcra. Bila saya katakan mengenai saya sebenarnya saya mewakili orang ramai. WZWH konon berjanji untuk tolong itu dan bantu ini, tetapi saya bertanya kembali, dia tu siapa? Lebih elok dia tolong diri dia sendiri dulu dan tolong bos dia yang sudah nak melingkup itu kerana gagal memberikan perkhidmatan berkesan kepada rakyat.

Tuesday, September 7, 2010

MUNGKIN JUGA DARAH PERJUANGAN PEMIMPIN KITA SUDAH TIADA ?



Membaca blog Beranikan Hati dengan posting bertajuk Anak Pemimpin Bukan Berjiwa Pemimpin Dan Tidak Tau Erti Perjuangan terasa sedikit keras kerana dalam sinis menyindir pemimpin-pemimpin kita terutama Dato' Hishamuddin dan tidak ketinggalan Dato' Sri Najib.

Saya tidak nafikan bahawa kebelakangan ini pemimpin-pemimpin kelihatan begitu lemah dalam mengambil tindakan berikutan dengan isu rasis terutama kepada kaum asing. Dalam hal lain menampakkan tindakan keras diambil terhadap bangsa Melayu sendiri apabila berkaitan dengan isu rasis ini.

Saya sendiri sebenarnya sangat kecewa dengan apa yang berlaku itu kerana memperlihatkan adanya 2 standard yang berbeza, 2 peraturan yang berbeza untuk diambil tindakannya terhadap 2 bangsa atau kaum yang berbeza ini. Jika keadaan ini berterusan tidak mustahil bangsa Melayu akan berasa bosan dan tidak lagi percaya bahawa diperlindungi dan dipertahankan oleh pemimpin.

Tidak mustahil juga kelak ini akan membangkitkan berontak dalam jiwa bangsa Melayu terhadap pemimpin dan negara sendiri, teristimewa jika isu itu dimainkan oleh pihak pembangkang dalam memenangi hati bangsa Melayu.

Kerajaan dan pemimpin perlu mengambil tindakan tegas dan dapat menyakinkan bangsa Melayu bahawa hak-hak mereka tidak akan di ganggu-gugat. Mereka juga sudah merasakan bahawa dibumi mereka sendiri kekayaannya diambil dan dimonopoli oleh bangsa lain.

Bagaimanapun mungkin juga benar bahawa anak-anak pemimpin kita sudah tidak lagi menghayati perjuangan bapa mereka kerana mereka dilahirkan di istana besar dan mereka tidak berjuang bersama-sama rakyat. Mereka tidak faham dan tidak merasai kesusahan rakyat dan perjuangan rakyat untuk hidup. Mereka hanya dilantik sebagai pemimpin kerana jasa bapa mereka sedangkan tidak ada setitis pun darah perjuangan didalam hati mereka.

Monday, September 6, 2010

TEKANAN POLITIK DAN KETUANAN MELAYU




1. Nampaknya keadaan politik negara semakin gawat. Ketidak stabilan politik akan mempengaruhi kehidupan harian rakyat berbilang kaum yang selama ini harmoni. Ketegangan kaum cuba diujudkan oleh pihak tertentu bagi mengambarkan keadaan politik negara tidak stabil yang mana akan juga mengakibatkan tekanan ekonomi berikutan keengganan pelancong asing melawat negara serta keengganan pelabur asing untuk datang melabur.

2. Kita sedar bahawa ini semua terjadi akibat tekanan dan desakan parti-parti politik serta individu berkepentingan. Mereka sengaja mewujudkan keadaan tidak stabil ini bagi memesongkan tumpuan rakyat serta menimbulkan kebimbangan dan ketidakyakinan rakyat terhadap kerajaan.

3. Tunjuk perasaan di Indonesia dan operasi ganyang Malaysia diberitakan didalangi oleh orang tertentu yang berkepentingan. Pendemo berkenaan adalah pendemo professional yang memang mencari makan dengan cara berdemo. Di Malaysia juga ada kumpulan seperti itu dulu walaupun tidak benar-benar professional tetapi mereka memang dibayar untuk turun serta berdemo.

4. Nyatalah bahawa politik sentiasa membenarkan matlamat dan menghalalkan cara. Tanpa kita sedari bahawa kita adalah sebahagian dari buah-buah catur yang digerakan oleh seseorang untuk kepentingan mereka.

5. Bagaimanapun kita haruslah sedar supaya jangan sampai maruah bangsa dan negara digadaikan. Jangan sampai hak ketuanan Melayu kita juga dipermainkan kerana negara ini adalah Tanah Melayu.



Orang-orang Melayu perlu tahu mengangkat martabat bangsa. Bangsa asing juga perlu tahu supaya menghargai tolak ansur bangsa melayu berikan selama ini. Ini ketuanan Melayu. Bangkitkan semangat bangsa melayu bukannya rasis. Kita mestu tanamkan semangat kebangsaan. Hidup melayu dan menjadi tuan dibumi melayu - bumi sendiri.

Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu dan adalah berikut:


"Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera.

Tujuh perkara itu adalah:

Pertama - Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA )

Kedua - Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain,

Ketiga - Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hakmilik kamu, kami telah tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membenteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara,

Keempat - Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini,

Kelima - Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan,

Keenam - Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU, dan

Ketujuh - Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Thursday, September 2, 2010

PERKEMBANGAN BLOG JERANTUT




1. Susahnya jadi blogger rupanya, terutama blogger picisan yang blognya tidak dikunjungi ramai pembaca. Bagaimanapun banyak juga masa terpaksa diberikan tumpuan untuk menulis dan malangnya saya tidak banyak masa untuk itu ketika ini.

2. Kebelakangan ini juga saya lebih suka mendiam kerana suasana politik Jerantut (blog-blognya) semakin gawat. Bagaimanapun seronok melihat banyak blog yang telah tumbuh, bagai cendawan. Makna sudah ada kesedaran tentang media baru @ media sosial di Jerantut malahan mungkin terlebih berbanding daerah lain (blog politiknya). (Rujuk blog patpatsikulipat)

3. Bagaimanapun jika tidak dikawal dengan baik mungkin perkembangan ini akan lebih banyaka mendatangkan kerosakan 'damage' kepada UMNO sendiri. Pemimpin harus melakukan sesuatu supaya arahtujunya dapat dikendalikan dan ditentukan agar tidak memesong.

4. Baru saya sedar dan kesal rupanya UMNO Bahagian sendiri masih belum ada blog resminya. UMNO Bahagian Lipis sudah ada (Klik sini) . Rupanya dalam keadaan seheboh ini, Ketua Penerangan UMNO Bahagian masih terlena dan tidak menyedari kepentingan blog resmi UMNO bagi menangkis segala hujah-hujah pihak lawan. KP harus bertanggungjawab terhadap membina blog resmi UMNO Bahagian bahkan memantau blog-blog yang ada kerana ini adalah sebahagian dari tugas-tugas penerangan dialaf ini.

5. Saya telah memastikan landasan saya bahawa saya akan terus menyuarakan suara dari rakyat marhaen yang suaranya tidak kedengaran selama ini. Harap saya akan ada lebih masa untuk menulis dimasa akan datang. Bagaimanapun perkembangan mutkhir ini sangat menarik dan memberi saya semangat baru.

6. Semoga pihak negeri akan memberikan perhatian serius terhadap perkembangan blog-blog di negeri Pahang khususnya supaya dapat membina satu 'force' yang walaupun dari asas yang berbeza namun mempunyai persamaan halatujunya.

Wednesday, July 21, 2010

PEMIMPIN YANG PEKAK DAN BUTA MATAHATINYA

Beberapa ketua kampong dan ketua UMNO cawangan ditawarkan ke Mekah oleh seorang wakil rakyat sebagai membalas budi dan mengambil hati mereka. Beruntunglah mereka yang menjadi kroni kepada pemimpin dan menjadi perwakilan kerana sering diberikan perhatian selain diberikan sogokan.


Inilah gaya perjuangan pemimpin-pemimpin era ini. Berjuang demi agama bangsa dan negara hanyalah rhetorik semata-mata. UMNO sebenarnya sudah kehiangan roh dan semangatnya. Menyertai UMNO hanya semata-mata kerana ingin mendapat sesuatu imbuhan. Kepentingan peribadi diutamakan melebihi kepentingan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat jelata. Disemua peringkat UMNO seumpama seorang pelacur tua yang sanggup menonggeng dilorong-lorong belakang. UMNO kehilangan maruah dari atas hingga kebawah.


Kerana kepentingan dirilah UMNO dicawangan semakin mengecil dan tidak menerima keahlian baru. Ketua-ketua cawangan tidak jujur dalam mengambil ahli baru kerana bimbangkan jawatannya akan terlepas ketangan orang lain maka akan hilanglah peluang mereka merebut segala peluang yang ada didepan mata,


Jangan hairan jika ada ketua kampong atau ketua cawangan yang menerima beberapa lot atau saham felcra untuk diri mereka suami isteri serta kaum keluarga dan meninggalkan mereka yang sepatutnya mendapat agihan itu. Kisah yang saya paparkan ini mungkin sudah ramai orang tau, tetapi tidak mustahil juga MB dan PM tidak dimaklumkan perihak sebenarnya kerana mereka yang dekat dengan pemimpin lebih suka menyanyi lagu-lagu yang disukai pemimpin itu saja. Dalam kata lain, pemimpin tidak mendapat maklumat sebenar yang sering disembunyikan.


Kita salahkan juga kepada pemimpin itu yang terlalu mempercayai satu sumber dan tidak ingin menyiasat lebih lanjut. PM dan MB terlena dibuai mimpin dan nyanyian yang mengatakan bahawa rakyat sudah menyenangi mereka sedangkan pegawai berkenaan hanya ingin memudahkan kerja mereka sendiri dengan mencipta sedikit mimoin buat pemimpin atasan itu. Pada PRU13 nanti kita akan mendengar lagu; si luncai terjun dengan labu-labunya...


Saya warganegara kelas 3 yang tidak berhak memenerima apa-apa. Saya tidak berhak menerima felcra dan tidak juga berhak menerima tanah untuk diusahakan. Untungnya menjadi bangsa Melayu di negara kita ini. Tetapi saya masih ada satu undi untuk diri sendiri dan beberapa undi dari anak-anak dan isteri serta kaum kerabat terdekat. Mungkin undi itu juga tidak bererti untuk saya dan bukan juga untuk pemimpin kita. Mungkin ada pihak lain yang akan menghargainya.


Saya hanya sebilangan kecil dari sejumlah besar yang tidak mampu atau tidak berani bersuara selama ini.

WARGA NEGARA KELAS 3

Siapa yang boleh menolong kita? Saya mengandaikan ceritanya begini; Di kampong kelahiran saya sendiri saya tidak mendapat agihan tanah felcra, demikian juga di kampong dimana isteri saya dilahirkan kami tidak juga mendapatnya.


Sedangkan mereka yang rapat dan menjadi kroni saya ketahui mendapatnya bahkan suami isteri kedua-duanya mendapat bahagian mereka.


Saya telah membuat permohonan tanah sejak lebih 20 tahun lalu namun masih belumpun dipertimbangkan. Mungkin pegawai pejabat tanah Jerantut tidak dapat melayan permohonan saya kerana tidak disertakan dengan wang kopi atau dengan lebih jelas 'rasuah'.


Jika saya tidak layak mendapat saham felcra, tidak juga isteri saya dan saya juga tidak berhak mendapat tanah, jadi apa yang saya boleh dapat sebagai warga negara Malaysia ini? Satu Malaysia? Bangsa cina mendapat segalanya di DUN Damak tetapi tidak bangsa Melayu.


Apa yang pemimpin melayu boleh tolong kepada orang Melayu? Apa pegawai melayu boleh tolong kepada bangsa melayu sendiri? Rasuah dipejabat-pejabat kerajan dan rasuah juga dalam politik.


Saya harap ada YB dan pegawai kerajaan yang pandai membaca blog dan dapat merasa keluhan ini yang bukan hanya dari diri saya sendiri tetapi mewakili ribuan melayu yang lain yang akan memberikan undi dapam PRU13 nanti.


Gelombang akan mengubahkan segalanya nanti jika pegawai kerajaan dan YB masih seperti ini. MB mungkin tidak pandai membaca blog dan tidak akan dapat merasai apa dalam hati kami.

Saturday, July 17, 2010

PERKASAKAN UMNO?

Banyak pihak bercakap tentang memperkasakan UMNO. Nampaknya semuanya ingin menjadi sebagaimana si burung tiong yang bijak berkata-kata.


Saya terfikir bagaimana hendak kita perkasakan UMNO? Kita mesti memperkasakan orang-orang melayu dahulu kerana orang melayulah pendukung UMNO sedangkan UMNO itu hanya satu entiti sahaja.


Melayu manakah yang mesti kita perkasakan? Melayu banyakkah atau melayu yang melayu yang memimpin? Melayu banyak adalah rakyat jelata yang sebenarnya mendukung UMNO dan melayu elit adalah pemimpin yang jumlahnya sedikit namun berkuasa menentukan haluan dan halatuju UMNO itu.


Melayu elit kebanyakannya sudah kaya-raya dengan peluang yang selalu terhidang dihadapan mereka namun melayu terbanyak masih hidup dalam kedaifan. Mereka ini kebanyakkannya masih tinggal di pedalaman, kampong-kampong tradisional. Merekalah yang masih setia menyokong UMNO selama ini. Apakah memperkasakan UMNO bermakna memperkasakan melayu terbanyak ini?


Apakah memperkasakan UMNO bermakna mengangkat martabat dan meningkatkan taraf ekonomi mereka ini? Apakah selama ini pemimpin jujur dan berusaha keras dalam mengangkat martabat dan meningkatkan ekonomi mereka? Apakah pemimpin berlaku adil kepada semua pihak?


Saya sebahagian dari anak pedalaman, juga pendukung UMNO (sekurang-kurangnya dulu) apakah saya mendapat apa yang kerajaan ingin berikan kepada saya? Felcra di Kuala Tahan umpamanya, saya tidak dapat namun ada pegawai kerajaan mendapatnya dan bahkan suami isteri serta ibu dan bapak mereka. Permohonan tanah juga, sudah hampir 20 tahun masih belum mendapat perhatian? Perlukan sogokan?


Ini sebahagian dari ketidakpuashatian rakyat yang perlu diambil kira, dan masih banyak lagi yang hanya terpendam dalam dada mereka. Apakah pemimpin kita peduli? Mungkin kerana saya bukan perwakilan jadi saya tidak harus diberi perhatian, tetapi saya warganegara Malaysia.


Mungkin selepas kita bersuara akan ada pihak yang berkata; kenapa tidak di maklumkan kepada mereka? Itu adalah skrip lama yang diulang semula, berkali kali dan akan diulang lagi berkali-kali lagi. Perkasakan UMNO? Saya tidak ada kata-kata!

Wednesday, July 14, 2010

bukan aku menentu takdir



aku berangkat tatkala kamu siap melebarkan sayap
walau masih belum teguh berdiri namun pasti
angin kencang sudah berani kau rempuh
atau setidak-tidaknya kamu sudah mampu
mengembang sayap dan melayang di atas awan,
ribut itu jangan kau tentang
tapi belayarlah mengikut angin
sebagaimana kita berdayung menghilir
mengikut arus air yang mengalir.
sampai waktu aku pergi tidak kembali
jangan kau tunggu kerana bukan ada janji
bukan aku melepas beban yang dipikul
mungkin sudah tersurat dan tercatat
dalam apa pun aku tetap gagal
tidak juga mampu menjadi penjaga
siangmu dan malammu.
anggaplah aku berdusta dalam melafazkan kata
memungkiri segala janji
jika kelak kita bertemu kembali
lidahku pun harus kau potong
demikian itu aku lebih rela
dari kau menganggapku pendusta
tetapi, bukan aku menentu takdirku
maaflah!
bila senyummu pun sudah enggan aku terima
walau hatiku ingin mendakapmu erat-erat


14 Julai,2010








Saturday, July 10, 2010

VERSI BARU ALI BABA DENGAN 40 PENYAMUN

Kahkahkah, entah berapa ramai lagi penyamun macam ni
yang ada di Pahang ni gamaknya?


Ramai yang pernah menonton dan masih belum lupa pada filem lakonan dan arahan seniman Agung P.Ramlee. Sama ada yang sudah berusia atau pun yang masih kanak-kanak, semuanya meminati beliau. Antara filem P.Ramli yang kelakar tetapi penuh dengan sindiran dan kiasan adalah filem Ali Baba Dengan 40 Penyamun.


Cerita itu mengisahkan ketua penyamun bersama dengan anak-buahnya yang kesemuanya 40 orang tinggal di sebuah gua dengan pekerjaan tetapnya adalah menyamun. Segala harta-benda hasil usaha curi dan samunnya disimpan didalam gua itu. Sekali-sekala mereka bersama-sama meninggalkan gua tersebut untuk mencari hiburan. Password khusus digunakan untuk membuka dan menutup gua tersebut. Tetapi sudah tentulah bukan 'Mokhtar' yang digunakan oleh seseorang yang suka masuk melalui pintu belakang.


Yang menariknya adalah harta penyamun tersebut nyaris disamun pula oleh Kasim Baba yang kaya tetapi tamak haloba. Kasim Baba adalah abang kepada Ali Baba yang miskin yang secara kebetulan telah pergi ke hutan berhampiran gua berkenaan untuk mencari kayu seterusnya mengetahui password bagi membuka dan menutup gua tersebut.


Ali Baba hanya mengambil sebahagian kecil harta berkenaan untuk keperluan sekeluarga namun diketahui oleh Kasim Baba. Kasim Baba secara pujuk rayu telah mendapatkan pasword berkenaan dan telah hampir berjaya mengambil segala harta tersebut. Namun sebelum sempat beliau membawa lari harta itu, beliau telah ditangkap oleh penyamun-penyamun itu dan membunuhnya.


Bagaimana pun baru-baru ini ada satu versi baru cerita Ali Baba dengan 40 penyamun itu. Sebagai versi baru tentulah ada dilakukan pengubah-suaian disana sini bagi menarik minat para penonton.


Tajuk versi baru cerita berkenaan juga telah diubah dari 'Ali Baba Dengan 40 Penyamun' kepada 'Ali Baba Dengan 4 Orang Perompak'. Dalam versi ini Ali Baba adalah juga penyamun manakala 4 Perompak berkenaan adalah penyamun yang ingin merompak harta milik Ali Baba si penyamun itu. Bermakna penyamun cuba menyamun harta penyamun. Bagaimanapun ke-empat-empat perompak tersebut telah berjaya ditembak mati oleh pihak polis.


Kita tertanya-tanya, kenapa versi baru ini tidak mengikut versi asal iaitu menyimpan harta didalam gua di hutan. Atau pun simpanlah dibank tempat yang sudah pasti selamat. Mungkin juga harta berkenaan adalah didapati dari usaha 'tarik duit' yang perlu dibersihkan terlebih dahulu bimbang ianya akan hilang sendiri kerana masih belum matang.


Apapun, tuan direktornya Adnan Garfu (bukan Ahmad Nisfu dan bukan juga nama sebenarnya) tentu lebih arif dan mengetahui tentang plot dan jalan cerita versi tersebut.


Tiba-tiba saya terbaca di blog mengenai seorang exco kerajaan negeri pahang hampir dirompak RM300,000.00 wang tunai yang disimpan dirumahnya.


CERITA TENTANG POLITIK - JANGAN TERLALU SERIUS

Terima kasih tuan Admin. blog SPU kerana menerima permohonan saya memasukkan blog saya didalam link blog list SPU.

Beberapa malam lalu saya berpeluang 'mengeteh' bersama kawan-kawan. Ini perkara yang sangat jarang dapat saya lakukan masa kini kerana bertugas diluar kawasan. Antara yang turut bersama adalah beberapa orang yang terlibat aktif dengan politik Jerantut dalam Pemuda dan juga Bahagian.

Saya banyak mencungkil mengenai perkembangan politik semasa Jerantut dan sudah tentu dalam masa yang panjang itu banyak juga yang saya dapati. Bagaimanapun sebagai seorang yang rasional sudah tentu saya tidak menerima maklumat itu bulat-bulat. Maklumlah, ini cakap-cakap politik. Banyak dipenuhi khiasan dan sindiran. Banyak juga dengan pelbagai provokasi. Bagaimanapun sebagai cerita ianya sangat menarik untuk didengari.

Kebetulan pertemuan kami malam itu masih hangat dengan cerita-cerita sepanjang Mesyuarat Perwakilan Bahagian, maka banyaklah kisah yang dapat saya dengari. Antara yang terhangat adalah mengenai bekas Ketua Bahagian 'menghentam' Timb. Ketua Bahagian dalam ucapan penangguhan.

Dimaklumkan ucapan itu tidak secara khusus kepada Timb. Katua Bahagian dengan menyebut nama beliau walaupun hakikatnya hadirin amat memahami kepada siapa ucapan itu dituju. Dalam keadaan demikian adalah lebih bijak jika Timb. Ketua Bahaghian mendiamkan diri dan tidak menangkis tohmahan tersebut, namun apa yang dilakukan membalas tohmahan dan sindirian tersebut yang secara langsung boleh disifatkan sebagai mengakui segala tuduhan terhadapnya. Mungkin kerana saat itu beliau berada didalam keadaan yang sangat tertekan dan telah mengambil tindakan diluar sedar, atau memang dia seorang ahli politik yang sangat berani.

Sambil kami minum dan mendengar cerita-cerita politik itu, saya menghimbas kembali kisah pemandu teksi. Ceritanya begini;

Pada satu ketika pemandu teksi berkenaan membawa beberapa penumpangnya untuk satu perjalanan, Tiba-tiba dalam perjalanan itu salah seorang dari penumpangnya telah melepaskan 'kentut rahsia' - tidak berbunyi tetapi berbau. Susah hendak meneka angkara siapakah bau itu kerana masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeza dan seakan menafikan ianya datang dari mereka.

Penumpang 1 yang duduk disebelahnya memejamkan mata seakan tertidur dan tidak menyedari apa yang berlaku. Penumpang 2 menekup hidung dengan matanya liar memerhatikan sekitar seolah-olah mencari angkara siapakah itu manakala penumpang 3 pula memandang sinis kepada penumpang 2 dan sekali sekala menjeling juga pemandu teksi berkenaan.

Tiba didestinasi semua penumpang itu membayar tambang mereka masing-masing dan pemandu teksi yang bijak itu ingin memastikan siapakah yang melepaskan 'kentut rahsia' itu telah dengan tegas berkata; 'Yang terkentut tadi dah bayar tambang ke belum?'. Tiba-tiba penumpang 1 menyahut; 'Eh! Kan tadi saya mula-mula bayar?'

Kami ramai-ramai ketawa. Suara nakal yang menanya; 'Jadi, siapa yang terkentut dalam Mesyuarat Perwakilan dulu tu?'


Friday, July 9, 2010

TERIMA KASIH ATAS PENGHARGAAN

Terima kasih kepada saudara saya Wan Zamzuri atas ucapan dan penghargaan beliau menyambut saya kembali berblog di Jerantut.

Memang saya masih ada sebuah blog yang masih aktif menulis politik nasional tetapi jarang-jarang menimbulkan isu mengenai Jerantut. (Saya terpaksa rahsiakan blog berkenaan atas alasan tertentu.)

Keinginan untuk aktif menulis blog di Jerantut adalah kerana merasa bertanggungjawab dalam penglibatan dalam media sosial yang seharusnya dilakukan lebih telus dan jujur melaporkan sebarang maklumat. Kita tidak menyalahkan satu-satu pihak kerana mereka pasti punya agenda tersendiri dalam membuat laporan. Pandangan saya agak mudah, apabila ada 2 pihak yang bertentangan maka seharusnyalah muncul pihak ke-3 bagi me'nuteral'kan keadaan, dan itulah yang ingin saya lakukan.

Saya selalu memantau perkembangan blog-blog di Jerantut selama ini dan sangat menyedari bahawa ada semacam konflik diantara beberapa pihak yang saya 'kurang' pasti. Namum membaca blog-blog berkenaan memberikan peluang pada saya untuk watak dan plotnya. Memang bukan mudah namun tidak terlalu payah untuk akhirnya memahami segala yang berlaku dan segala yang sedang direncanakan.

Saya tidak menjanjikan sesuatu yang besar dan luar biasa kerana saya juga terikat dengan tugas dan tanggungjawab saya serta kerap berada jauh, namun blog ini akan ujud sebagai sebahagian dari yang akan berada diantara kedua-duanya, bagi mencari nilai murni dan kesucian dalam bermedia sosial....seperti air yang jernih.

“I do not agree with what you have to say, but I'll defend to the death your right to say it.” - Voltaire


SALAM BLOGGER KEPADA JERANTUT

Assalamualaikum kepada semua blogger dan pembaca-pembaca blog di Jerantut khususnya.

Saya mula menulis blog sejak lama dulu dan diantara yang terawal berjuang membantu kerajaan UMNO BN dalam perang saraf sebagai ahli BPN (Blogger Pembela Negara). Blog berkenaan dibina sejak tahun 2008 selepas sahaja kerajaan menerima tamparan hebat dari blogger pro pembangkang yang telah berjaya mendapatkan sokongan rakyat dengan menguasai blog dan facebook sebagai 'tool' media sosial dan menghukum kerajaan UMNO BN untuk tidak mendapat mandat 2/3 dalam PRU12 lalu.

Media sosial yang telah dengan cepat mendapat tempat dihati rakyat berbanding media konvensional kerana mampu membawa hubungan 2 hala. Demikianlah masa mengubah segalanya.

Memandangkan penulisan blog sudah semakin mendapat tempat dihati rakyat, juga warga Jerantut, maka timbul semula kecenderungan dihati saya untuk bersama-sama dalam arena penulisan kreatif ini bagi memberikan pandangan saya secara peribadi dalam penulisan.