Bagai air yang jernih

Bagai air yang jernih,
mengalir perlahan dari hulu ke muara
beginilah waktu mencatat
riwayat hidup anak pedalaman
meneroka rona-rona kehidupannya

AZAM

AZAM

Wednesday, July 21, 2010

PEMIMPIN YANG PEKAK DAN BUTA MATAHATINYA

Beberapa ketua kampong dan ketua UMNO cawangan ditawarkan ke Mekah oleh seorang wakil rakyat sebagai membalas budi dan mengambil hati mereka. Beruntunglah mereka yang menjadi kroni kepada pemimpin dan menjadi perwakilan kerana sering diberikan perhatian selain diberikan sogokan.


Inilah gaya perjuangan pemimpin-pemimpin era ini. Berjuang demi agama bangsa dan negara hanyalah rhetorik semata-mata. UMNO sebenarnya sudah kehiangan roh dan semangatnya. Menyertai UMNO hanya semata-mata kerana ingin mendapat sesuatu imbuhan. Kepentingan peribadi diutamakan melebihi kepentingan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat jelata. Disemua peringkat UMNO seumpama seorang pelacur tua yang sanggup menonggeng dilorong-lorong belakang. UMNO kehilangan maruah dari atas hingga kebawah.


Kerana kepentingan dirilah UMNO dicawangan semakin mengecil dan tidak menerima keahlian baru. Ketua-ketua cawangan tidak jujur dalam mengambil ahli baru kerana bimbangkan jawatannya akan terlepas ketangan orang lain maka akan hilanglah peluang mereka merebut segala peluang yang ada didepan mata,


Jangan hairan jika ada ketua kampong atau ketua cawangan yang menerima beberapa lot atau saham felcra untuk diri mereka suami isteri serta kaum keluarga dan meninggalkan mereka yang sepatutnya mendapat agihan itu. Kisah yang saya paparkan ini mungkin sudah ramai orang tau, tetapi tidak mustahil juga MB dan PM tidak dimaklumkan perihak sebenarnya kerana mereka yang dekat dengan pemimpin lebih suka menyanyi lagu-lagu yang disukai pemimpin itu saja. Dalam kata lain, pemimpin tidak mendapat maklumat sebenar yang sering disembunyikan.


Kita salahkan juga kepada pemimpin itu yang terlalu mempercayai satu sumber dan tidak ingin menyiasat lebih lanjut. PM dan MB terlena dibuai mimpin dan nyanyian yang mengatakan bahawa rakyat sudah menyenangi mereka sedangkan pegawai berkenaan hanya ingin memudahkan kerja mereka sendiri dengan mencipta sedikit mimoin buat pemimpin atasan itu. Pada PRU13 nanti kita akan mendengar lagu; si luncai terjun dengan labu-labunya...


Saya warganegara kelas 3 yang tidak berhak memenerima apa-apa. Saya tidak berhak menerima felcra dan tidak juga berhak menerima tanah untuk diusahakan. Untungnya menjadi bangsa Melayu di negara kita ini. Tetapi saya masih ada satu undi untuk diri sendiri dan beberapa undi dari anak-anak dan isteri serta kaum kerabat terdekat. Mungkin undi itu juga tidak bererti untuk saya dan bukan juga untuk pemimpin kita. Mungkin ada pihak lain yang akan menghargainya.


Saya hanya sebilangan kecil dari sejumlah besar yang tidak mampu atau tidak berani bersuara selama ini.

WARGA NEGARA KELAS 3

Siapa yang boleh menolong kita? Saya mengandaikan ceritanya begini; Di kampong kelahiran saya sendiri saya tidak mendapat agihan tanah felcra, demikian juga di kampong dimana isteri saya dilahirkan kami tidak juga mendapatnya.


Sedangkan mereka yang rapat dan menjadi kroni saya ketahui mendapatnya bahkan suami isteri kedua-duanya mendapat bahagian mereka.


Saya telah membuat permohonan tanah sejak lebih 20 tahun lalu namun masih belumpun dipertimbangkan. Mungkin pegawai pejabat tanah Jerantut tidak dapat melayan permohonan saya kerana tidak disertakan dengan wang kopi atau dengan lebih jelas 'rasuah'.


Jika saya tidak layak mendapat saham felcra, tidak juga isteri saya dan saya juga tidak berhak mendapat tanah, jadi apa yang saya boleh dapat sebagai warga negara Malaysia ini? Satu Malaysia? Bangsa cina mendapat segalanya di DUN Damak tetapi tidak bangsa Melayu.


Apa yang pemimpin melayu boleh tolong kepada orang Melayu? Apa pegawai melayu boleh tolong kepada bangsa melayu sendiri? Rasuah dipejabat-pejabat kerajan dan rasuah juga dalam politik.


Saya harap ada YB dan pegawai kerajaan yang pandai membaca blog dan dapat merasa keluhan ini yang bukan hanya dari diri saya sendiri tetapi mewakili ribuan melayu yang lain yang akan memberikan undi dapam PRU13 nanti.


Gelombang akan mengubahkan segalanya nanti jika pegawai kerajaan dan YB masih seperti ini. MB mungkin tidak pandai membaca blog dan tidak akan dapat merasai apa dalam hati kami.

Saturday, July 17, 2010

PERKASAKAN UMNO?

Banyak pihak bercakap tentang memperkasakan UMNO. Nampaknya semuanya ingin menjadi sebagaimana si burung tiong yang bijak berkata-kata.


Saya terfikir bagaimana hendak kita perkasakan UMNO? Kita mesti memperkasakan orang-orang melayu dahulu kerana orang melayulah pendukung UMNO sedangkan UMNO itu hanya satu entiti sahaja.


Melayu manakah yang mesti kita perkasakan? Melayu banyakkah atau melayu yang melayu yang memimpin? Melayu banyak adalah rakyat jelata yang sebenarnya mendukung UMNO dan melayu elit adalah pemimpin yang jumlahnya sedikit namun berkuasa menentukan haluan dan halatuju UMNO itu.


Melayu elit kebanyakannya sudah kaya-raya dengan peluang yang selalu terhidang dihadapan mereka namun melayu terbanyak masih hidup dalam kedaifan. Mereka ini kebanyakkannya masih tinggal di pedalaman, kampong-kampong tradisional. Merekalah yang masih setia menyokong UMNO selama ini. Apakah memperkasakan UMNO bermakna memperkasakan melayu terbanyak ini?


Apakah memperkasakan UMNO bermakna mengangkat martabat dan meningkatkan taraf ekonomi mereka ini? Apakah selama ini pemimpin jujur dan berusaha keras dalam mengangkat martabat dan meningkatkan ekonomi mereka? Apakah pemimpin berlaku adil kepada semua pihak?


Saya sebahagian dari anak pedalaman, juga pendukung UMNO (sekurang-kurangnya dulu) apakah saya mendapat apa yang kerajaan ingin berikan kepada saya? Felcra di Kuala Tahan umpamanya, saya tidak dapat namun ada pegawai kerajaan mendapatnya dan bahkan suami isteri serta ibu dan bapak mereka. Permohonan tanah juga, sudah hampir 20 tahun masih belum mendapat perhatian? Perlukan sogokan?


Ini sebahagian dari ketidakpuashatian rakyat yang perlu diambil kira, dan masih banyak lagi yang hanya terpendam dalam dada mereka. Apakah pemimpin kita peduli? Mungkin kerana saya bukan perwakilan jadi saya tidak harus diberi perhatian, tetapi saya warganegara Malaysia.


Mungkin selepas kita bersuara akan ada pihak yang berkata; kenapa tidak di maklumkan kepada mereka? Itu adalah skrip lama yang diulang semula, berkali kali dan akan diulang lagi berkali-kali lagi. Perkasakan UMNO? Saya tidak ada kata-kata!

Wednesday, July 14, 2010

bukan aku menentu takdir



aku berangkat tatkala kamu siap melebarkan sayap
walau masih belum teguh berdiri namun pasti
angin kencang sudah berani kau rempuh
atau setidak-tidaknya kamu sudah mampu
mengembang sayap dan melayang di atas awan,
ribut itu jangan kau tentang
tapi belayarlah mengikut angin
sebagaimana kita berdayung menghilir
mengikut arus air yang mengalir.
sampai waktu aku pergi tidak kembali
jangan kau tunggu kerana bukan ada janji
bukan aku melepas beban yang dipikul
mungkin sudah tersurat dan tercatat
dalam apa pun aku tetap gagal
tidak juga mampu menjadi penjaga
siangmu dan malammu.
anggaplah aku berdusta dalam melafazkan kata
memungkiri segala janji
jika kelak kita bertemu kembali
lidahku pun harus kau potong
demikian itu aku lebih rela
dari kau menganggapku pendusta
tetapi, bukan aku menentu takdirku
maaflah!
bila senyummu pun sudah enggan aku terima
walau hatiku ingin mendakapmu erat-erat


14 Julai,2010








Saturday, July 10, 2010

VERSI BARU ALI BABA DENGAN 40 PENYAMUN

Kahkahkah, entah berapa ramai lagi penyamun macam ni
yang ada di Pahang ni gamaknya?


Ramai yang pernah menonton dan masih belum lupa pada filem lakonan dan arahan seniman Agung P.Ramlee. Sama ada yang sudah berusia atau pun yang masih kanak-kanak, semuanya meminati beliau. Antara filem P.Ramli yang kelakar tetapi penuh dengan sindiran dan kiasan adalah filem Ali Baba Dengan 40 Penyamun.


Cerita itu mengisahkan ketua penyamun bersama dengan anak-buahnya yang kesemuanya 40 orang tinggal di sebuah gua dengan pekerjaan tetapnya adalah menyamun. Segala harta-benda hasil usaha curi dan samunnya disimpan didalam gua itu. Sekali-sekala mereka bersama-sama meninggalkan gua tersebut untuk mencari hiburan. Password khusus digunakan untuk membuka dan menutup gua tersebut. Tetapi sudah tentulah bukan 'Mokhtar' yang digunakan oleh seseorang yang suka masuk melalui pintu belakang.


Yang menariknya adalah harta penyamun tersebut nyaris disamun pula oleh Kasim Baba yang kaya tetapi tamak haloba. Kasim Baba adalah abang kepada Ali Baba yang miskin yang secara kebetulan telah pergi ke hutan berhampiran gua berkenaan untuk mencari kayu seterusnya mengetahui password bagi membuka dan menutup gua tersebut.


Ali Baba hanya mengambil sebahagian kecil harta berkenaan untuk keperluan sekeluarga namun diketahui oleh Kasim Baba. Kasim Baba secara pujuk rayu telah mendapatkan pasword berkenaan dan telah hampir berjaya mengambil segala harta tersebut. Namun sebelum sempat beliau membawa lari harta itu, beliau telah ditangkap oleh penyamun-penyamun itu dan membunuhnya.


Bagaimana pun baru-baru ini ada satu versi baru cerita Ali Baba dengan 40 penyamun itu. Sebagai versi baru tentulah ada dilakukan pengubah-suaian disana sini bagi menarik minat para penonton.


Tajuk versi baru cerita berkenaan juga telah diubah dari 'Ali Baba Dengan 40 Penyamun' kepada 'Ali Baba Dengan 4 Orang Perompak'. Dalam versi ini Ali Baba adalah juga penyamun manakala 4 Perompak berkenaan adalah penyamun yang ingin merompak harta milik Ali Baba si penyamun itu. Bermakna penyamun cuba menyamun harta penyamun. Bagaimanapun ke-empat-empat perompak tersebut telah berjaya ditembak mati oleh pihak polis.


Kita tertanya-tanya, kenapa versi baru ini tidak mengikut versi asal iaitu menyimpan harta didalam gua di hutan. Atau pun simpanlah dibank tempat yang sudah pasti selamat. Mungkin juga harta berkenaan adalah didapati dari usaha 'tarik duit' yang perlu dibersihkan terlebih dahulu bimbang ianya akan hilang sendiri kerana masih belum matang.


Apapun, tuan direktornya Adnan Garfu (bukan Ahmad Nisfu dan bukan juga nama sebenarnya) tentu lebih arif dan mengetahui tentang plot dan jalan cerita versi tersebut.


Tiba-tiba saya terbaca di blog mengenai seorang exco kerajaan negeri pahang hampir dirompak RM300,000.00 wang tunai yang disimpan dirumahnya.


CERITA TENTANG POLITIK - JANGAN TERLALU SERIUS

Terima kasih tuan Admin. blog SPU kerana menerima permohonan saya memasukkan blog saya didalam link blog list SPU.

Beberapa malam lalu saya berpeluang 'mengeteh' bersama kawan-kawan. Ini perkara yang sangat jarang dapat saya lakukan masa kini kerana bertugas diluar kawasan. Antara yang turut bersama adalah beberapa orang yang terlibat aktif dengan politik Jerantut dalam Pemuda dan juga Bahagian.

Saya banyak mencungkil mengenai perkembangan politik semasa Jerantut dan sudah tentu dalam masa yang panjang itu banyak juga yang saya dapati. Bagaimanapun sebagai seorang yang rasional sudah tentu saya tidak menerima maklumat itu bulat-bulat. Maklumlah, ini cakap-cakap politik. Banyak dipenuhi khiasan dan sindiran. Banyak juga dengan pelbagai provokasi. Bagaimanapun sebagai cerita ianya sangat menarik untuk didengari.

Kebetulan pertemuan kami malam itu masih hangat dengan cerita-cerita sepanjang Mesyuarat Perwakilan Bahagian, maka banyaklah kisah yang dapat saya dengari. Antara yang terhangat adalah mengenai bekas Ketua Bahagian 'menghentam' Timb. Ketua Bahagian dalam ucapan penangguhan.

Dimaklumkan ucapan itu tidak secara khusus kepada Timb. Katua Bahagian dengan menyebut nama beliau walaupun hakikatnya hadirin amat memahami kepada siapa ucapan itu dituju. Dalam keadaan demikian adalah lebih bijak jika Timb. Ketua Bahaghian mendiamkan diri dan tidak menangkis tohmahan tersebut, namun apa yang dilakukan membalas tohmahan dan sindirian tersebut yang secara langsung boleh disifatkan sebagai mengakui segala tuduhan terhadapnya. Mungkin kerana saat itu beliau berada didalam keadaan yang sangat tertekan dan telah mengambil tindakan diluar sedar, atau memang dia seorang ahli politik yang sangat berani.

Sambil kami minum dan mendengar cerita-cerita politik itu, saya menghimbas kembali kisah pemandu teksi. Ceritanya begini;

Pada satu ketika pemandu teksi berkenaan membawa beberapa penumpangnya untuk satu perjalanan, Tiba-tiba dalam perjalanan itu salah seorang dari penumpangnya telah melepaskan 'kentut rahsia' - tidak berbunyi tetapi berbau. Susah hendak meneka angkara siapakah bau itu kerana masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeza dan seakan menafikan ianya datang dari mereka.

Penumpang 1 yang duduk disebelahnya memejamkan mata seakan tertidur dan tidak menyedari apa yang berlaku. Penumpang 2 menekup hidung dengan matanya liar memerhatikan sekitar seolah-olah mencari angkara siapakah itu manakala penumpang 3 pula memandang sinis kepada penumpang 2 dan sekali sekala menjeling juga pemandu teksi berkenaan.

Tiba didestinasi semua penumpang itu membayar tambang mereka masing-masing dan pemandu teksi yang bijak itu ingin memastikan siapakah yang melepaskan 'kentut rahsia' itu telah dengan tegas berkata; 'Yang terkentut tadi dah bayar tambang ke belum?'. Tiba-tiba penumpang 1 menyahut; 'Eh! Kan tadi saya mula-mula bayar?'

Kami ramai-ramai ketawa. Suara nakal yang menanya; 'Jadi, siapa yang terkentut dalam Mesyuarat Perwakilan dulu tu?'


Friday, July 9, 2010

TERIMA KASIH ATAS PENGHARGAAN

Terima kasih kepada saudara saya Wan Zamzuri atas ucapan dan penghargaan beliau menyambut saya kembali berblog di Jerantut.

Memang saya masih ada sebuah blog yang masih aktif menulis politik nasional tetapi jarang-jarang menimbulkan isu mengenai Jerantut. (Saya terpaksa rahsiakan blog berkenaan atas alasan tertentu.)

Keinginan untuk aktif menulis blog di Jerantut adalah kerana merasa bertanggungjawab dalam penglibatan dalam media sosial yang seharusnya dilakukan lebih telus dan jujur melaporkan sebarang maklumat. Kita tidak menyalahkan satu-satu pihak kerana mereka pasti punya agenda tersendiri dalam membuat laporan. Pandangan saya agak mudah, apabila ada 2 pihak yang bertentangan maka seharusnyalah muncul pihak ke-3 bagi me'nuteral'kan keadaan, dan itulah yang ingin saya lakukan.

Saya selalu memantau perkembangan blog-blog di Jerantut selama ini dan sangat menyedari bahawa ada semacam konflik diantara beberapa pihak yang saya 'kurang' pasti. Namum membaca blog-blog berkenaan memberikan peluang pada saya untuk watak dan plotnya. Memang bukan mudah namun tidak terlalu payah untuk akhirnya memahami segala yang berlaku dan segala yang sedang direncanakan.

Saya tidak menjanjikan sesuatu yang besar dan luar biasa kerana saya juga terikat dengan tugas dan tanggungjawab saya serta kerap berada jauh, namun blog ini akan ujud sebagai sebahagian dari yang akan berada diantara kedua-duanya, bagi mencari nilai murni dan kesucian dalam bermedia sosial....seperti air yang jernih.

“I do not agree with what you have to say, but I'll defend to the death your right to say it.” - Voltaire


SALAM BLOGGER KEPADA JERANTUT

Assalamualaikum kepada semua blogger dan pembaca-pembaca blog di Jerantut khususnya.

Saya mula menulis blog sejak lama dulu dan diantara yang terawal berjuang membantu kerajaan UMNO BN dalam perang saraf sebagai ahli BPN (Blogger Pembela Negara). Blog berkenaan dibina sejak tahun 2008 selepas sahaja kerajaan menerima tamparan hebat dari blogger pro pembangkang yang telah berjaya mendapatkan sokongan rakyat dengan menguasai blog dan facebook sebagai 'tool' media sosial dan menghukum kerajaan UMNO BN untuk tidak mendapat mandat 2/3 dalam PRU12 lalu.

Media sosial yang telah dengan cepat mendapat tempat dihati rakyat berbanding media konvensional kerana mampu membawa hubungan 2 hala. Demikianlah masa mengubah segalanya.

Memandangkan penulisan blog sudah semakin mendapat tempat dihati rakyat, juga warga Jerantut, maka timbul semula kecenderungan dihati saya untuk bersama-sama dalam arena penulisan kreatif ini bagi memberikan pandangan saya secara peribadi dalam penulisan.